Saturday, November 7, 2009

.:Lapan:. Bersikap dengan sikap ahli Neraka juga...

Selalu cerita mengenai diri sendiri, tidak salahkan untuk bercerita di luar lingkungan cerita semasa?

Berada di Mesir, banyak pandangan indah cantik-bahagia-belaka sewaktu di Malaysia dahulu meleset satu-persatu. Terutamanya, pandangan mengenai sikap masyarakat Arab Mesir di sini.

Jangan salah faham.

A. Pandangan-pandangan yang dicipta sebelum terbang ke bumi ini tidak lebih merupakan angan-angan mentah tanpa sebarang fakta, lebih-lebih lagi pandangan itu keluar daripada remaja yang baru hendak mengenal dunia!

B. Maaf, bukan semua Arab sebegitu teruk. Sesetengah individu di dalam komuniti ini sahaja, terutamanya yang berkaitan dengan duit dan sistem pentadbiran, tentunya.

Jika ditanya kepada kebanyakan kita yang berpeluang berada di sini mengenai komuniti Arab Mesir, tentu pelbagai cerita buruk-hodoh-keji-hina yang akan didengari. Tanyalah sesiapa pun, pasti masing-masing memiliki cerita sendiri mengenai sikap
buruk individu Arab Mesir yang yang terpaksa dihadapi.

Persoalannya, adakah akhlak buruk mereka perlu dibalas dengan kita juga bersikap seperti sikap ahli Neraka?

Ya, sikap ahli Neraka.
Bunyinya agak keras. Konotasinya menyakitkan hati. Tetapi itulah hakikat. Sering kali kita tidak mahu merendahkan ego, sebaliknya selalu membalas untuk menunjukkan betapa superiornya kita berbanding mereka.

Kononnya jika tidak membalas, tidak dimaki, tidak dimarah, nampak sangat kita ini lembik, "serah kepala untuk dipijak-pijak".

Cerita ini tidak terhad dalam hubungan komuniti Melayu dengan Arab Mesir sahaja, bahkan turut melibatkan sesama bangsa sendiri yang menumpang belajar di sini.


Hujahnya, "Kalau tak dimarah, memang lambat la Arab ni buat kerja. Bukrah, bukrah, bukrah!!!", Itulah ayat yang keluar apabila ditanya selepas selesai me"ibnu syar****, ya ibn k***, ya hi**r, yakhrab baitak, kush u***k" si Arab di salah sebuah institusi kerajaan Mesir.

Atau,
"En. *** memang macam tu. Dia dah tak faham bahasa profesional dah. Konon ada MA, ada PhD, tapi kerja semua politik belaka. Anjing kerajaan. Memang sudah sampai satu tahap; rundingan, dialog tak jalan dah, memang kita kena cakap keras dengan dia", tulis seseorang yang mengaku 'MAHASISWA' di dalam satu ruangan di internet, dalam memperkatakan mengenai tindakan seorang pegawai di sebuah jabatan di bawah kerajaan Malaysia.

Jika benar persepsi saya mengenai Arab Mesir ini b
uruk, makanya lebih buruk lagi persepsi saya mengenai manusia, Arab mahupun Melayu, yang membalas keburukan orang lain dengan kejahatan juga.

Membalas dengan kejahatan juga, itulah sikap ahli Neraka.


Tak percaya?

Siapa yang memang telah ditentukan tempatnya nanti di Akhirat sebagai ahli Neraka? Iblis bukan? Teliti dialog Iblis dengan Allah ketika Iblis enggan sujud kepada Adam dalam surah as-Sad, ayat 73-85.

“Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau adalah makhluk yang diusir dan sesungguhnya engkau ditimpa laknat-Ku terus menerus hingga ke hari Kiamat!”.


Tiada yang mendapat laknat Tuhan terus menerus hingga hari Kiamat, melainkan tempatnya telah tersedia di Neraka.

Sekarang sebagai seorang penghuni Neraka, iblis mempunyai sikap dendam. Dendam dengan Adam kerana berasakan dirinya lebih mulia daripada Adam.


"Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripadanya; Engkau (Wahai Tuhanku) ciptakan daku dari api, sedang dia Engkau ciptakan dari tanah”.

Lantas Iblis yang memang sombong dan takbur, membalas dendam akibat dihukum Allah kepada Adam dan keturunannya,

"Iblis berkata: “Demi kekuasaanmu (Wahai Tuhan
ku), aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu (zuriat Adam) yang dibersihkan”.

Inilah yang saya maksudkan dengan bersikap dengan sikap ahli Neraka- membalas dengan kejahatan. Sebab rasa sombong, takbur atau superior tadi. Atau berasa diri tidak boleh direndah-rendahkan.


Sabar sebahagian daripada iman?

Dalam kehidupan ini, walaupun saya sendiri baru menjangkau usia dekad ke-20, namun saya pasti kita pasti akan berhadapan dengan ramai orang yang bersikap dengan salah satu atau beberapa sikap ahli Neraka; mungkir janji, membalas dendam, ego, sombong, takbur.

Namun, perlukah kita juga turut bersikap dengan akhlak yang sama? Orang menganiayai, mengkhianati, memungkiri, memarahi atau berlaku sombong, berlagak ego dengan kita, haruskah kita juga turut serta bermain dalam perangkap Iblis ini?

Tiadakah jalan yang lebih baik untuk berhadapan jelmaan sikap Iblis dalam diri manusia itu?

Ada, bahkan telah lama digariskan Tuhan sendiri dalam al-Quran,

"Dan mintalah pertolongan (daripada Allah) dengan jalan sabar dan solat, dan sesungguhnya solat itu amat berat kecuali bagi orang yang khusyuk".
(al-Baqarah:45)

Jalan sabar. Jika kita beriman dengan Allah, yakin dengan pertolongan-Nya, maka pilihlah jalan sabar itu. Buktikan anda menyempurnakan iman dengan memilih jalan sabar.


Boleh jadi sabar itu dengan berdiam diri, atau mengasingkan diri buat seketika. Boleh jadi juga sabar itu dalam bentuk bicara yang sopan, atau bertingkah yang berhemah. Anda mempunyai akal bukan? Berfikirlah sendiri untuk bersabar dalam menghadapi situasi itu.

Sabar tidak bermaksud kita ini pasif!

Namun, harus juga kita bertanya kepada diri sendiri, mengapa manusia itu bersikap keras dengan aku, bersikap dengan sikap ahli Neraka kepada aku? Di sinilah letaknya kepentingan bermuhasabah.

"Bermuhasabalah sebelum kamu dihisab (di Akhirat)", kata Omar r.a.


Boleh jadi manusia memarahi, mengkhianati atau berlagak dengan kita atas sebab salah diri sendiri. Ini salah satu sebab mengapa kejahatan orang lain tidak harus dibalas dengan kejahatan juga.


Jika atas sebab kesilapan sendiri, akui kesilapan tersebut. Humban jauh-jauh rasa ego tersebut, sebab rasa ego itulah yang mencampakkan Iblis ke Neraka. Ambil iktibar Adam, apabila Tuhan juga mengeluarkan Adam dan Hawa daripada Syurga, setelah cuai arahan Allah.


"Mereka berdua berkata: “Wahai Tuhan kami, Kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalaulah Engkau tidak mengampunkan kami dan kasihani kami, nescaya kami tergolong daripada orang-orang yang rugi”.
(al-A'araf:23)

Indahnya akhlak Nabi pertama itu apabila mengakui kesilapan sendiri, lantas memohon ampun dengan Tuhan. Bandingkan pula Iblis, setelah ingkar kepada Allah, bahkan dengan lebih ego dan sombong dan tidak memohon keampunan Tuhannya, dan mencabar kekuasaan Penciptanya sendiri.

Inilah yang menyebabkan Iblis tercampak ke Neraka, walaupun kedua-duanya Adam dan Iblis sama-sama melakukan kesalahan, tidak patuh kepada Allah.

Jika inilah kesempatannya, maka inilah masanya untuk kita menjadi manusia yang tidak disesatkan Iblis, manusia yang Tuhan bersihkan hatinya.


Kita zuriat Adam, maka bersikaplah dengan sikap Adam. Kita bukan zuriat Iblis, maka jauhilah sikap ahli Neraka itu.


Saya bukan yang terbaik, sebab masih banyak yang perlu saya belajar, dan saya perlu selalu belajar untuk bersabar. Mungkin jawapan yang terbaik apabila ditanya 'kenapa diam? Kalau aku kena marah macam kau, aku maki balik' atau 'kenapa tak marah Arab kedai tu, nak bagi kepala suruh pijak?', mungkin jawapan yang terbaik ialah,

"Saya tidak mahu bersikap dengan sikap ahli Neraka. Dia nak marah bising-bising, nak mungkir janji, biar dialah yang berperangai ahli Neraka, takkan saya nak join sekali?
"

Tegur saya jika saya bercakap tak serupa bikin, kita semua hendak menjadi ahli Syurga, bukan?

No comments:

Post a Comment