Sebelum perjalanan dimulakan, daku sempat berbual di atas talian dengan guruku di Malaysia, yang pernah suatu ketika dahulu menuntut di Zaqaziq. Katanya, Zaqaziq adalah daerah nan indah. Benar, sepanjang perjalanan daku melihat awan petang yang redup melindungi mentari yang ingin melabuh tirai. Cahayanya yang hampir malap menyimbahi ladang-ladang gandum. Daku berseloroh kepada rakan-rakanku yang sama-sama mengikuti, mengingati iklan kotak imej suatu ketika dahulu tentang bijiran sarapan, andai kata kami tersasar daripada jalanan, terhumban ke ladang gandum, pastinya kami akan menjadi ‘Cocoa Crunch’!
Allah! Kami bersyukur kerana Engkau lindungi kami sepanjang perjalanan itu.
Kami tiba di Zaqziq tatkala manusia selesai menunaikan solat Maghrib. Disambut oleh rakan dari Zaqziq sendiri, terasa berdebar-debar di hati, bagaimanakah penerimaan pelajar di sana terhadap kami, dan tentunya daku secara khusus, seorang yang ‘pelik’?
Tentunya Zaqziq bukan sebuah bandar yang mewah. Bandar kecil tetapi masih punya sebuah universiti ini menampung ratusan pelajar Malaysia yang menadah ilmu di sana. Jalannya yang belum tentu berturap diakui, menimbulkan kegelisahan di hatiku, konon-kononnya anak bandar ini.
Namun kulihat wajah warga Mesir di sini, terasa tiada kerutan tekanan perasaan yang lazimnya hinggap di wajah penduduk bandar. Tenang, setenang kotanya.
Dibawa ke pusat aktiviti pelajar, kami disambut mesra. Terasa kehangatan ukhuwwah, walaupun daku tetap berasa kekok untuk memulakan pertalian. Dijamu dan disantuni, jumlah mereka yang agak ramai menambah lagi gusar di hati, takut-takut menjadi satu kesilapan tatkala daku mengambil bahagian melontar diskusi.
UKHUWWAH
Daku selalu sangsi dengan ungkapan ukhuwwah. Kurasakan, manusia ini kebanyakannya hanya plastik, termasuk diriku, dan tidak mampu membina hubungan ukhuwwah yang benar-benar berkesan.
Tetapi kata Umar, mengenali seseorang adalah melalui permusafiran. Kurasakan rakan-rakanku telah mengenali sisi burukku semasa perjalanan ini, tetapi daku tahu daku melihat mereka dalam sisi yang terbaik, dan sungguh, mereka adalah insan-insan yang baik! Semoga Tuhan nan satu merahmati mereka.
Berkenalan dengan orang baru bukanlah satu pengalaman yang daku sukai. Namun segala-galanya terasa begitu indah pabila daku berkelanan kali ini. Entahlah, mungkin niatnya bukan duniawi? Siapa sangka kutemui ramai manusia yang wajahnya seakan sama seperti individu yang pernah kukenali? Sudahlah mukanya hampir seiras, perangainya pula lebih kurang sama, bahkan mungkin lebih baik lagi.
Dan siapa sangka daku bertemu insan dari bumi kenyalang yang bahasa Melayu Riau-Lingga bukan pertuturan utamanya? Orangnya baik, dan daku terasa seperti ingin mengenali Sarawak dengan lebih dekat, kerana kurasakan, bumi itu masih perlukan sentuhan anak watan memperjuangkan agama sepertinya. Mungkin daku patut bekerja di sana?
Dan tidak kurang rakan-rakan baru di Zaqziq, bahkan kerana merekalah, daku menjejak kaki di Syarqiyyah buat kali pertama. Sungguh, daku tidak akan lepaskan peluang ke sana lagi kerana mereka telah membina jambatan nurani yang sangat menyentuh kalbu, betapa sebenarnya nilai-nilai insan masih tebal di sanubari anak Adam, dan mereka telah membuktikannya.
Sesungguhnya, kebaikan yang mereka tunjukkan terhadap kami tetamu-tetamu ini, benar-benar mengesani hati. Kesungguhan mereka dalam berdiskusi, menunjukkan bahawa masih ramai yang berminat dengan ilmu. Allah, besarkanlah ruang untuk mereka di Jannah, atas asbab kebaikan mereka ini!
ILMU
Pemergian kami ke sana, atas jemputan mereka warga Malaysia di Zaqziq, bagi berbincang-bincang kefahaman ilmu yang pelbagai, yang hilangnya kefahaman ini menjadi sebab kemunduran umat akhir zaman. Risalah Untuk Kaum Muslimin menjadi rujukan, dan perbincangan menjadi wadah pembacaan, tatkala sang mahaguru penulis buku jauh berada di Malaysia.
Dan sungguh, diskusi malam itu benar-benar hangat. Kupohon kepada Allah agar membuka pintu hati kefahaman, kerana salah faham hanya menyesatkan.
Daku membentang faham keadilan menurut sudut pandang Islam. Pelik, kerana rupa-rupanya selama ini daku memahami adil seperti Barat lagaknya. Rupa-rupanya, keadilan yang ingin ditegakkan mesti berpaksikan Tuhan dan diri manusia. Mana-mana yang melanggar perintah Tuhan dan bertentangan dengan fitrah diri insan, maka bukanlah sesuatu yang adil, bahkan zalim, waima terhadap diri sendiri.
Bukankah tatkala Adam as melanggar perintah membuat salah, dirinya berdoa sebagai seorang yang telah menzalimi dirinya sendiri?
Hakikat diri sebagai seorang penghutang dengan Tuhan di atas muka bumi kini telah kusemat erat di dalam sanubari. Daku hanya seorang penghutang, dan daku harus sedar daku wajib melunaskan hutang-hutang itu, dan daku harus sedar daku sampai bila-bila pun tidak akan berjaya menyelesaikannya.
Namun daku tetap mahukan, Tuhan belilah diri ini dengan syurga sebagai lunasan hutangku! Tiada kebahagian yang kudambakan, melainkan bersama Tuhanku menatap wajah Nur-Nya.
NABI, DAN ULAMA PEWARIS NABI
Keesokan harinya kami bertandang pula ke Tanta, yang letaknya di sebelah barat Mansoura, tidak seperti Zaqziq di sebelah timur. Perjalanan pagi begitu mendamaikan, dengan hasrat mengunjungi maqam dan masjid.
Warga Tanta patut bersyukur, kerana orang soleh dan alim sentiasa tinggal di sana, dan jasadnya juga berkubur di sana walau beratus tahun sekalipun. Banyak maqam yang kami lawati, dan tiada satu pun maqam ulama solihin ini yang kutinggalkan, tanpa sedikit pun keinginan menjadi seperti mereka.
Daku sematkan iktibar yang paling besar, bahawa apa jua bidang yang kuceburi, daku wajib mahir dan alim di dalamnya, agar ilmu yang ditinggalkan kelak, menjadi legasi dan penyumbang amalan di barzah. Allah, betapa mereka begitu cintakan ilmu, tambatkan lah hatiku mencintai ilmu buat mendekatkan diriku kepada-Mu!
Dan sesungguhnya yang paling manis di dalam perjalanan ini, tentulah perasaan terasa hampir dengan junjungan besar, Rasululullah saw, walaupun pada hanya seutas janggut Baginda. Terasa bahawa insan kurindui dan cintai ini berada benar-benar dekat denganku, walaupun dosa-dosaku boleh membuatkan Baginda bersedih, namun kuazamkan di dalam diri bahawa daku juga hendak menjadi umat yang setia bersama Baginda, hatta ke Syurga. Sebak hati mengenangkan Baginda telah lama pergi, dan daku juga begitu lama bergenang dosa, dan dengan andaian Baginda tiba-tiba menjelma di hadapan daku melihat amalan dosa yang menjadi salutan peribadi, daku menjadi lebih terkedu.
Tuhan, salawat dan salam kepada kekasih-Mu!
Tuhan, daku sedih. Tiada mampu daku menerus kalam.
Dakhahilyyah-Syarqiyyah-Qulubiyyah
19 - 20 April 2012