Tuesday, May 24, 2011
Wednesday, May 18, 2011
.:Dua Puluh Lima:. Tentang mimpi
Biarlah hari ini saya menulis di dalam Melayu pula.
Hari yang indah, rasanya, selepas semalaman (seharian, sebetulnya) tidur sampai tak ingat dunia dan segala urusannya.
Subuh di Mesir semasa musim panas adalah sangat awal. Bayangkan, seawal pukul 3 pagi. Tetapi untuk manusia yang telah puas tidur semalaman, saya langsung tiada masalah untuk bangun awal dan bersiap untuk bersolat, dalam keadaan hati yang riang gembira.
Mengapa?
Semuanya disebabkan sebuah mimpi. Mimpi berkenaan diri sendiri. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya, ini bukanlah mimpi-mimpi ngeri hari pembalasan yang sering saya alami. Hehe
Walaupun hanya sekadar mimpi, saya hendak juga coretkan di sini. InsyaAllah, moga Tuhan makbulkan, menjadi kenyataan. Jika tidak dalam masa terdekat, saya tetap akan tunggu.
Mimpi tentang sebuah perkahwinan.
Ok, ketawalah. Siapa yang tidak mahu mengimpikan perkahwinan?
Namun mimpi kali ini betul-betul berbeza.
Saya berada di Malaysia, tentunya, berbincang bersama-sama ibu dan ayah, tentang prospek perkahwinan. Calonnya telah ada, cuma menunggu untuk masuk meminang. Lalu rombongan dihantar, dan mimpi saya di-fastforward-kan sehinggalah saya berada di dalam majlis akad.
Oh, lelaki mana yang tidak berpeluh-peluh berdebar semasa akad? Namun inilah saat yang paling menggembirakan, dan inilah episod mimpi yang paling saya tidak mahu bangun daripadanya.
Saya memakai persalinan putih, sepadan dengan pengantin perempuan. Masih lagi berkaca mata seperti sekarang, tetapi terasa bertakhta sehari kerana sebagai pengantin, kitalah yang dilihat dan dinanti orang sepanjang hari tersebut.
Bayangkan semua mata sedang menumpu kepada anda, dan pengantin perempuan tertunduk malu menantikan anda melafazkan kata-kata yang menjadikan dirinya milik anda sepenuhnya. Di atas tilam kecil anda duduk berhadapan dengan wali, gemuruh rasa tidak dapat disembunyikan lagi.
Akad dilafaz, dan dengan henjutan salam, saya menyambutnya. Dan dengan sekali lafaz, pengantin perempuan yang tertunduk malu tadi merupakan tanggungjawab saya, mulai saat itu, di dunia dan akhirat.
Allah, besarnya hakikat amanah yang Allah berikan kepada saya! Hanya ketika saya mencoret di sini, barulah saya sedar.
Namun sewaktu itu, perasaan tanggungjawab itu dibayangi oleh rasa gembira dan tenang oleh lafaz nikah yang saya sebutkan. Cinta yang disulam, terasa direstui oleh seluruh alam, di langit dan di bumi. Ibu ayah gembira, ahli keluarga saya gembira, hadirin di dalam masjid gembira, dan tentunya, pengantin perempuan lebih-lebih lagi menangis kegembiraan.
-
-
-
-
OK, BERHENTI. KEMBALI KE DUNIA REALITI.
Ini hanyalah mimpi. Tidak salah untuk berimpian, dan harus mengimpi sambil tangan terus menadah berdoa menagih Allah memberikan jawapan.
Dan harus Muslim berdoa, wajib bahkan, semoga Allah memberikannya calon yang terbaik sebagai isteri dan ibu untuk anak-anaknya.
Cukuplah bagi saya buat masa ini. Sekadar berimipian.
Mimpi seperti ini datang sewaktu saya makin hampir dengan tarikh peperiksaan, semakin tertekan mengulang kaji, dan semakin pinar menghafal. Alhamdulillah, sekurang-sekurangnya ada terselit kegembiraan, walau pun sekadar dalam sebuah mimpi yang Allah takdirkan. Saya percaya, ini takdir Allah jua, walau hanya sebuah mimpi.
Saya masih lagi mengharap, Tuhan temukan saya dengan seseorang yang mampu mendampingi saya sehingga ke akhir hayat, jauh daripada istilah perceraian, bahkan menemani saya sehingga ke syurga. Hati mana yang tidak walang, apabila mengetahui sahabat terdekat yang telah bertunang, merencana perkahwinan dalam masa terdekat. Hati bahkan cemburu, tatkala melihat sang lelaki bercakap lembut dengan si perempuan. Mesti di hatinya, sesuatu yang dinamakan cinta.
Belum tiba masanya, belum sampai seru, untuk saya.
Semoga doa seorang Mukmin dimakbulkan Allah.